Isnin, 30 September 2013

Assalamualaikum w.b.t ..



PENULISAN REFLEKSI

NASHLYN BINTI SAPAI'EE


Pada bulan ini, kami semua dari PPISMP Ambilan Jun 2013 telah diberi tugasan projek bagi subjek minor iaitu GKB 1053, ’’Kemahiran Belajar’’. Kami mempunyai masa selama beberapa minggu untuk menyiapkan tugasan ini dan tugasan inii diberikan secara individu.  Tugasan ini merupakan satu cabaran baru kepada saya.  Hal ini demikian kerana ini merupakan kali pertama saya diberi tugasan projek yang sedemikian dan saya perlu membuat tugasan ini dengan bersungguh-sungguh supaya menepati piawaian yang pensyarah telah tetapkan.

Kami semua dikehendaki menghasilkan satu slide show untuk dibentang depan rakan-rakan dan guru mengikut tajuk yang telah diberikan oleh guru GKB kami iaitu Encik Hamzah Bin Dolah. Pembentangan ini dilakukan secara berkumpulan dan ahli kumpulan saya terdiri daripada 3 orang.  Semasa menghasilkan slide show itu, saya mendapat serba-sedikit pengetahuan yang berkaitan dengan tajuk yang dibuat oleh kumpulan kami dan sekali gus boleh menambahkan sedikit pengetahuan saya mengenai subtopik yang ada dalam subjek kemahiran belajar.   Selain itu, kami semua juga dikehendaki menghasilkan satu blog untuk kegunaan diri kami sendiri dan blog tersebut haruslah diisi dengan pelbagai maklumat yang berguna terutamanya hasil kerja yang telah dihasilkan oleh kami yang berkaitan dengan subjek Kemahiran Belajar.  Saya berasa teruja semasa membuat blog tersebut kerana itu merupakan kali pertama saya menghasilkan satu blog.  Jadi, sekarang saya sudah tahu cara untuk menghasilkan blog dan cara menggunakannya.  Melalui tugasan projek ini, saya telah mendapat pelbagai kemahiran yang boleh saya aplikasikan dalam kemahiran belajar saya.  Contohnya ialah kemahiran dalam menghasilkan blog. Semasa saya menghasilkan tugasan ini, saya telah mendapat bimbingan dan bantuan daripada pensyarah, Encik Hamzah Bin Dolah dan rakan-rakan dalam menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Saya telah mengalami beberapa masalah dalam menyiapkan kerja projek ini.  Contohnya ialah saya dan ahli kumpulan saya mengalami masalah untuk mendapatkan maklumat mengenai tajuk yang telah diberikan oleh guru kami iaitu ’’Penyesuaian Sosial’’ untuk dibuat pembentangan. Saya dan ahli kumpulan saya telah pergi ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan yang pelbagai dalam menyiapkan kerja projek ini namun kami hanya menemui beberapa buah buku saja yang berkaitan dengan tajuk yang dibuat kami.  Tambahan pula, kami hanya boleh membuat rujukan di dalam perpustakaan itu sahaja kerana buku tersebut tidak boleh dipinjam.  Oleh hal yang demikian, kami telah melayari internet untuk mendapatkan lebih banyak maklumat supaya kami  dapat mempelbagaikan sumber dalam mencari maklumat.

Pengurusan masa sangat penting bagi seorang guru.  Saya telah membahagikan masa dengan teratur dalam proses membuat tugasan ini supaya hasil kerja yang dihasilkan nanti berkualiti.  Namun begitu, saya mengalami permasalahan dalam membahagikan masa untuk membuat tugasan ini kerana  kerana banyak lagi tugasan dari subjek lain  yang perlu disiapkan.  Saya berasa masa berlalu dengan begitu pantas sehinggakan saya terpaksa mengejar masa dalam menyiapkan tugasan ini.  Semasa menghasilkan tugasan ini, saya baru menyedari betapa pentingnya pembahagian masa dalam kehidupan seharian kita apabila melaksanakan sesuatu tugas.

Proses dalam menyiapkan tugasan ini telah memberikan saya satu dimensi baru mengenai subjek Kemahiran Belajar. Semua ini menjadikan saya lebih berkemahiran dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan bidang pengkomputeran iaitu saya telah mengetahui serba-sedikit cara untuk menggunakan aplikasi-aplikasi yang ada dalam komputer. Pengetahuan seperti  ini akan saya ajarkan kepada pelajar sekolah apabila saya menjadi seorang guru pada masa akan datang dan saya sebagai seorang guru mempunyai peranan yang penting untuk mendidik pelajar supaya mereka berpengetahuan luas dalam semua bidang.

Akhir kata dari saya ialah semoga penulisan refleksi yang saya hasilkan ini mampu merungkaikan serba-sedikit pengalaman saya dalam menghasilkan tugasan ini.  Selain itu, saya juga berharap agar tugasan yang dihasilkan oleh saya menepati piawaian yang dikehendaki pensyarah dan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan